|
Sentral: Wanita MCA mahu temui MPSJ bincang isu penjaja
Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
bhnews@bharian.com.my
Pertemuan bagi tangani masalah keselesaan pasar moden

SUBANG JAYA: Wanita MCA Bahagian Kelana Jaya akan mengadakan
pertemuan dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam
masa terdekat bagi membincang dan menyelesaikan masalah yang
dihadapi penjaja di pasar moden di SS15 di sini.
Pengerusinya, Ong Chong Swen, berkata pihaknya akan menghantar
surat rasmi kepada MPSJ terlebih dulu Asebelum merancang bertemu
dengan pihak berkuasa tempatan berkenaan sekitar minggu hadapan
bertujuan meleraikan masalah dihadapi penjaja pasar pagi
berkenaan.
“Antara masalah mereka termasuk ketiadaan tempat mencuci tangan,
atap bocor, air bertakung dan apa yang mengejutkan adalah
terdapat lubang yang agak besar di tengah-tengah laluan jalan di
dalam pasar berkenaan yang hanya ditutup dengan kotak.
“Masalah terbabit amat membimbangkan, apatah lagi pasar menjadi
tempat kunjungan orang ramai termasuk kanak-kanak, terutama pada
hujung minggu dan apa yang menjadi perhatian kami adalah
keselesaan dan keselamatan penjaja dan pengunjung pasar ini,”
katanya selepas melawat pasar berkenaan di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Pemuda MCA Bahagian Kelana Jaya, Lee You
Hin dan Naib Pengerusi Pemuda MCA Bahagian Kelana Jaya, Chen
Siang Hooi.
Pada majlis berkenaan, Ong meluangkan masa selama kira-kira dua
jam beramah mesra dengan penjaja dan pengunjung pasar dua
tingkat yang dibina sejak tiga tahun lalu itu selain mengedarkan
kalendar tahun 2009.
|