|
AGM Wanita MCA
berjalan ala-ala DUN Perak?

Krisis DUN Perak telah dijadikan 'panduan'
perwakilan MCA menjalankan AGM hari ini.
Perwakilan telah melantik speaker yang baru
untuk mengendalikan mesyuarat tanpa mempedulikan
arahan ketuanya.
Mesyuarat agung tahunan (AGM) Wanita MCA sedang
berlangsung di Wisma MCA pagi ini di sebalik
arahan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun
supaya mesyuarat itu ditangguhkan.
Terdahulu, speaker mesyuarat itu, Ooi Siew Kim
mengumumkan AGM ditangguhkan dan keluar dari
Dewan San Choon lima minit selepas mesyuarat
bermula kira-kira 9 pagi.
Beliau memberitahu para perwakilan yang beliau
telah menerima surat arahan daripada Chew tengah
malam semalam supaya menangguhkan AGM.
Disebalik pengumuman oleh Ooi, kira-kira 350
perwakilan Wanita tetap tidak berganjak dari
dewan.
Para perwakilan kemudian melantik Ketua Wanita
Kelana Jaya Ong Chong Swen sebagai speaker yang
baru pada 9.15 pagi, yang kemudian
mempengerusikan mesyuarat itu.
Semalam, Majlis Eksekutif Wanita memutuskan
untuk menangguhkan AGM ekoran tindakan 21
anggota jawatankuasa pusat (CC) meletakkan
jawatan bagi memberi laluan bagi pemilihan baru
parti.
Perkara 36, perlembagaan parti menetapkan AGM
adalah sah sekiranya mempunyai
kuorum minimum 200 perwakilan.
Ketika AGM itu berlangsung, Chew mengadakan
sidang akhbar di sebuah restoran berdekatan. -Bernama

|