|

Tindakan meroboh tidak patut dilakukan
SUBANG JAYA 19 Julai - Tindakan MPSJ merobohkan
tapak gelanggang silat di kawasan perumahan
Pangsapuri Angsana di USJ 1 di sini bukan sahaja
mengundang rasa tidak puas hati di kalangan
penduduk.
Malah, Penyelaras Parlimen Kelana Jaya, Ong
Chong Swen juga berpendapat, perkara
tersebut tidak seharusnya berlaku kerana
kegiatan itu mengajak orang ramai untuk beriadah.
"Tanah tersebut direzabkan untuk tapak pembinaan
tadika tetapi sejak sekian lama, tidak ada
sebarang pembinaan dilakukan, jadi penduduk
menggunakan tapak tersebut sebagai tempat untuk
berlatih silat.
"Pembinaan gelanggang berkenaan juga bersifat
sementara kerana mereka (penduduk) sedar ia
tapak untuk tadika.
"Aktiviti ini baik kerana penduduk terutamanya
golongan muda seperti remaja dapat mengisi masa
lapang mereka dengan berlatih silat berbanding
pergi melepak ataupun terlibat dengan kegiatan
merempit.
"Malah, suri rumah dan kanak-kanak juga boleh
belajar asas seni mempertahankan diri," katanya
yang hadir bagi mendengar keluhan penduduk serta
melihat sendiri tapak yang telah dirobohkan.
Minggu lalu, MPSJ bertindak merobohkan
gelanggang silat berkenaan atas alasan tempat
tersebut menjadi salah satu tempat pembiakan
nyamuk aedes.
Akibat tindakan drastik MPSJ itu, pihak berkuasa
tempatan berkenaan didakwa tidak prihatin dan
ada yang mendakwa ada pihak cuba membunuh
aktiviti sihat penduduk di kawasan berkenaan.
Bagi Pegawai Penyelaras Pembangunan Kawasan DUN
Subang Jaya, Lee You Hin, MPSJ perlu
berbincang dengan penduduk dan persatuan silat
berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil.
"Sepatutnya ada perbincangan malah jika nak
roboh sekalipun, notis pemberitahuan perlu
diberi terlebih dahulu sebagai makluman penduduk
di sini.
"Ini membolehkan penduduk dan persatuan silat
mencari alternatif untuk berpindah ke tempat
lain.
"Paling kurang pun, sediakan tempat baru bagi
membolehkan penduduk di sini terus menjalani
latihan silat.
"Apatah lagi aktiviti berkenaan adalah baik
untuk penduduk di sini dan bukannya mengundang
masalah sosial," katanya lagi.
Sehubungan itu, Chong Swen dan You Hin berharap
agar ada perbincangan di antara MPSJ, penduduk
dan juga pihak-pihak yang terlibat bagi mencari
jalan penyelesaian terbaik.
Ini kerana aktiviti sebegini wajar diteruskan
kerana ia banyak memberi faedah di samping dapat
mengurangkan masalah sosial di kawasan berkenaan
|