|


06/11/2010
Tindakan MPSJ dibidas
Oleh Ardyhansah Amat
kota@utusan.com.my
SUBANG JAYA 5 Nov. - Cakap tak serupa bikin.
Peraturan pula diubah sesuka hati.
Bidasan itu dilemparkan oleh Barisan Nasional
kawasan Parlimen Subang Jaya terhadap Majlis
Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berhubung
syarat-syarat permohonan permit memasang
sepanduk.
Penyelaras Parlimen Kelana Jaya, Ong Chong Swen
yang kelihatan kesal dengan MPSJ menjelaskan,
isunya adalah kecil iaitu mengenai hasrat
pihaknya hendak menggantung sepanduk di sekitar
kawasan Subang.
"Kami mengalami kesukaran untuk menggantung
sepanduk di kawasan Subang, sungguhpun sepanduk
itu hanyalah untuk memberi ucapan perayaan
semata-mata," ujarnya.
Chong Swen berkata keadaan ini berlaku apabila
mereka membuat permohonan permit untuk sepanduk
ucapan sempena sambutan perayaan Deepavali.
"Sebelum ini, kami pernah memohon permit untuk
memasang sepanduk sambutan Tahun Baru Cina pada
Februari lalu.
"Melalui surat yang kami terima, hanya ada
beberapa arahan daripada MPSJ seperti Jata
Negara hendaklah ditukar kepada bendera negeri
Selangor serta jawatan kami dalam kerajaan
ditukar kepada jawatan dalam parti.
"Selain itu, dalam surat yang sama juga MPSJ
turut menyenaraikan beberapa jejantas sebagai
lokasi yang dibenarkan untuk menggantung
sepanduk.
"Untuk kali ini, kami cuba mengikut peraturan
yang sama seperti yang digariskan dalam surat
berkenaan," katanya.
Malangnya, tambah Ong, pegawai MPSJ daripada
Jabatan Perlesenan menjelaskan hanya ucapan dan
bendera negeri sahaja yang dibenarkan dicetak
pada sepanduk berkenaan.
"Semua gambar-gambar kami termasuklah bendera
Malaysia dan logo 1Malaysia tidak boleh dicetak,
barulah permit akan diberikan.
"Kenapa syarat tersebut boleh bertukar-tukar
dalam masa beberapa bulan sahaja?
"Kenapa tiada hitam putih mengenai syarat-syarat
baru tersebut, dan hanya diberitahu kepada kami
secara lisan?
"Kami mahukan penjelasan mengenai perkara ini.
Ia sekadar ucapan perayaan untuk penganut Hindu
di Subang Jaya semata-mata.
"Jika hanya letak ucapan raya dan lambang
bendera negeri, bagaimana masyarakat nak tahu
ucapan itu daripada kami," katanya lagi.
Justeru, Ong bersama-sama parti komponen Barisan
Nasional termasuklah Ketua MIC Bahagian Kelana
Jaya, Datuk SM Muthu, Ketua Bahagian PPP Kelana
Jaya, Datuk D. Gnana serta beberapa orang lain
membuat piket sebagai bantahan terhadap tindakan
MPSJ tersebut di Taipan, hari ini.
Selain itu, Utusan Malaysia difahamkan,
sepanduk-sepanduk milik kerajaan negeri tidak
pula dikenakan syarat-syarat sedemikian.
Malah, mereka juga mendakwa sepanduk yang telah
digantung di beberapa jejantas dan jelas
memaparkan gambar Menteri Besar Selangor tidak
mempunyai sebarang permit memandangkan tiada
nombor siri permit yang biasanya diletakkan pada
sepanduk.
|