|


12/01/2011
Golongan OKU perlu cekal tempuh kehidupan
|
 |
|
ONG Chong
Swen (tengah) bersama golongan kurang
upaya dan orang ramai yang menyertai
Bazar Amal@19mall selepas merasmikan
bazar tersebut di City Mall, Subang
Jaya, kelmarin.
|
SUBANG JAYA 11 Jan. - Golongan kurang upaya
(OKU) dinasihatkan agar tidak menjadikan
kekurangan mereka sebagai penghalang untuk
mencari pekerjaan dan berjaya dalam bidang yang
diceburi.
Penyelaras Parlimen Kelana Jaya, Ong Chong Swen
berkata, memiliki kekurangan sama ada dari segi
fizikal, mental mahupun intelektual bukan ukuran
bagi anggota masyarakat lain untuk memandang
rendah apa sahaja yang dilakukan oleh golongan
berkenaan.
Menurutnya, untuk menjadi lebih dihormati,
golongan OKU perlu lebih cekal dan berdikari
dalam menempuh kehidupan termasuk berusaha bagi
mengisi keperluan sendiri.
"Golongan OKU seharusnya tidak terlalu
mengharapkan simpati mahupun bantuan daripada
orang lain tetapi cubalah untuk berdikari.
"Apa yang diharapkan daripada masyarakat ialah
mereka akan memahami situasi yang dihadapi oleh
golongan ini seterusnya memberi lebih ruang
kepada mereka menunjukkan potensi supaya
dapat
menikmati kehidupan yang lebih bermakna,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas
merasmikan Bazar Amal@19mall di pusat beli belah
City Mall di sini semalam.
Chong Swen berkata, penganjuran bazar amal oleh
Beautiful Gate Foundation For The Disable itu
perlu disambut baik oleh semua pihak terutama
dalam menyediakan bantuan dan keperluan kepada
golongan sasaran.
Beautiful Gate adalah sebuah pertubuhan sukarela
bagi membantu OKU di negara ini yang ditubuhkan
sejak lebih sedekad lalu.
Katanya, penganjuran bazar yang julung kali
diadakan dengan kerjasama City Mall itu juga
adalah bukti golongan terbabit mempunyai usaha
dan inisiatif sendiri untuk meletakkan diri
mereka di tengah-tengah masyarakat.
Tambah beliau, konsep beramal sambil membeli itu
juga dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat
untuk menyertai aktiviti kebajikan yang
dianjurkan.
Sehubungan itu, orang ramai terutama yang
menetap di Subang Jaya boleh membantu golongan
itu dengan menjayakan program yang diadakan
setiap hari Sabtu dan Ahad bermula pada pukul 10
pagi hingga 4 petang.
Penganjuran bazar itu, antara lain bertujuan
mengumpul dana untuk disalurkan kepada tabung
yayasan tersebut yang kini sudah memiliki lebih
enam cawangan termasuk luar Lembah Klang.
Pelbagai barangan termasuk pakaian, aksesori dan
makanan kesihatan boleh dibeli di kira-kira 20
gerai yang mengambil bahagian.
Orang ramai yang berminat khususnya golongan OKU
dan ibu tunggal dialu-alukan untuk menyertai
bazar amal berkenaan dengan menghubungi talian
03-78736579 atau layari laman www.beautifulgate.org.my
untuk maklumat lanjut.
|